Pages

Sunday, May 6, 2012

Malam gelap pekat...

Jam melangkau ke pukul 12 tengah malam
Aku sendiri menjaring malam yang sepi
Deru angin kipas menemani deria pendengaranku
Mata semakin penat, namun sukar sekali mahu terpejam lena
Pelbagai cerita malam gelap singgah dibenakku menyukarkan lagi untuk aku lena di buai mimpi

Malam gelap pekat...
Teman serumah entah kemana
Adik sendiri tiada disisi
Kerisauan jelas nyata menghantui fikiran, mengharap cerah siang pantas menjelma

Malam gelap pekat...
Bukan agenda mistik yang aku takuti
Tetapi kelibat sang manusia yang tidak diundang menggerunkan diri
Setiap masa curiga setiap bunyi...
Penat ragaku menjeruk rasa

Malam gelap pekat...
Hilang sudah ketenangan hariku
Lekaslah muncul wahai mentari pagi...

Kisah Aku & Buku...

As Salam

Kunjungan ke Pesta Buku di tahun 2012 ini telah menggerakkan aku untuk mewujudkan halaman ini. Entah mengapa keinginan begitu membuak-buak untuk mencoretkan sesuatu mengenai minat yang satu ini. Melakar kisah, berkongsi rasa tentang cinta pada buku....

Minat terhadap buku dan membaca telah bercambah sejak kecil lagi. Tidak sukar untuk mendapat sokongan mak dan abah kerana minat ini bukanlah sesuatu yang tidak baik. Buku pertama yang menjadi koleksi bacaan seawal usia 7 tahun...kalau tak silap, merupakan buku kisah sahabat-sahabat nabi pemberian abah. Sungguhpun mak dan abah menyokong, namun ada ketika dorang marah jugak bila aku leka dan asyik mengulit buku sehingga kerja lain tidak ku beresi Masih kuingat secebis kisah tentang buku... Di kawasan kejiranan, ada seorang abang yang pada masa itu bekerja di Perpustakaan Awam. Tak ingat sangat, bagaimana bermula kisah dia meminjamkan buku-buku yang dipinjam dari perpustakaan tempatnya bekerja pada aku. Yang aku pasti, aku seronok tak terkira pada masa tu sebab ada sumber yang membekalkan bahan bacaan pada aku. Semakin hari semakin asyik membaca, kerja-kerja rumah semakin terabai, mak tegur ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri je. Satu hari, mak mengamuk betul sampaikan mak ugut tak nak bagi abang tuh bawak balik dan pinjamkan aku buku lagi. Tapi betul-betul lepas tuh takde lagi buku untuk aku;( Bukan mak yang bagitau kat abang tuh jangan bawak balik buku lagi, tapi ntah sape sampaikan kat abang tuh;( So, abang tuh betul-betul ingat salah dia aku tak buat kerja! Hahaha! Bila dikenang kembali, pasti mengundang senyum dibibir:)

Zaman persekolahan juga mengukir kenangan manis aku dengan buku. Tingkatan satu bersekolah pada sessi petang memberi kelebihan aku untuk melepak di perpustakaan kerana jam 11:30 pagi dah terpacak disekolah, sedangkan kelas bermula pada pukul satu. Memang banyak masa habis di perpustakaan menelaah segala buku cerita. Masa tu, siri penyiasatan Salma memang menjadi kegemaran. Ingat lagi, kulit buku yang berwarna merah. Tidak ketinggalan juga siri Enid Byltonn yang bewarna biru.

Aku dah mula jatuh cinta dengan perpustakaan sekolah pada masa tu. Rasa syurga sangat sebab banyak sungguh buku yang menjadi khazanah, dan juga koleksi buku pada masa tu selalu diperbaharui. Bila semakin akrab aku dengan perpustakaan, aku mula menyimpan keinginan untuk bergelar Pustakawan. Akhirnya, pada pertengahan di tingkatan dua dapat juga bergelar pustakawan sehingga habis tingkatan lima. Banyak memori yang terukir, banyak ilmu yang aku kumpul;)

Sehingga sekarang aku tidak pernah jemu dengan buku. Kalau dahulu bahan bacaan aku terhad kepada buku cerita dan novel sahaja, sekarang dengan sumber kewangan sendiri skop bahan bacaan aku lebih meluas. Pelbagai genre buku menjadi tatapan. Ilmiah, keagamaan, motivasi dan banyak lagi. Setiap bulan memang sudah dikhaskan belanja untuk sekurang-kurangnya sebuah buku. Kisah aku dan buku, harap tidak akan terhenti selagi hayat dikandung badan:)

Koleksi terbaru hasil kunjungan ke Pesta Buku Antarabangsa 2012 ;))

Saturday, May 5, 2012

Inspirasi & Kecintaan

As Salam

Inspirasi membawa kecintaan yang mendalam terhadap buku menghasilkan idea untuk menulis dan berkongsi bait-bait cerita di setiap buku yang dibaca.

Hanyalah pendapat peribadi & 'review' terhadap buku-buku yang menjadi koleksi peribadi disamping merekod setiap momen-momen indah kandungan buku tersebut.

Di sini pustaka kecilku, di sini aku melakar kisah....